Isnin, 4 Oktober 2010

Panduan Mengerjakan Haji Dan Umrah

Haji: Ia adalah rukun kelima dari rukun-rukun asas Islam dan ia mempunyai keistimewaan dengan menghimpunkan kesemua rukun-rukun yang lain.

Pengertiannya dari sudut bahasa: Menuju kepada Allah Yang Maha Agung.

Pengertiannya dari sudut istilah syarak:
Menziarahi tempat-tempat tertentu pada masa-masa tertentu dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan tertentu.

Kelebihan Haji:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. bahawa Rasulullah SAW bersabda: (Sesiapa yang mengerjakan Haji dan dia tidak mencampuri isterinya serta tidak melakukan maksiat, dia akan kembali sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya).

Syarat-syarat Wajib Mengerjakan Haji:
•Islam
•Berakal
•Berkemampuan
•Merdeka
•Baligh

Bentuk-bentuk Berkemampuan:

•Selamat tubuh badan
•Aman perjalanan
•Tidak ditahan
•Terdapat mahram atau suami bagi perempuan
•Tidak berada dalam idah bagi perempuan

Syarat-syarat Sah Mengerjakan Haji:
•Islam
•Berihram
•Masa (Miqat ihram menepati masa)
•Tempat (Miqat ihram mengikut tempat)
•Mumayyiz
•Berakal
•Boleh melakukan pekerjaan dengan sendirinya melainkan ketika keuzuran
•Tidak bersetubuh

Cara-cara Mengerjakan Ibadat Haji:
Ia terdiri dari tiga cara iaitu:
1- Ifrad: Iaitu berniat Haji sahaja.
2- Tamattu': Iaitu berniat Umrah terlebih dahulu (iaitu dia berihram Umrah dari miqat yang ditetapkan untuk negerinya kemudian dia bertahallul dari ihram tersebut seterusnya berihram untuk Haji dari Mekah). Dinamakan sebagai Tamattu' kerana dia memilih cara yang membolehkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram di antara Umrah dan Haji.
3- Qiran: Iaitu berniat Haji dan Umrah bersama-sama (iaitu berihram Haji dan Umrah bersama-sama secara serentak).
Firman Allah Taala: Yang bermaksud: Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Mekah). (Surah Al-Baqarah, Ayat: 196).
Jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran dan Tamattu' diwajibkan menyembelih kambing biri-biri (dam) sebagai tanda syukur kepada Allah Taala kerana dia berjaya mengerjakan Umrah dan Haji pada bulan-bulan Haji dengan baik serta di dalam satu perjalanan musafir, sekiranya dia tidak mampu menyembelih dam, dia hendaklah berpuasa selama tiga hari pada musim Haji dan tujuh hari selepas dia pulang ke tanah airnya.

Persediaan Untuk Musafir Haji:
Sebelum musafir untuk mengerjakan Haji bakal jemaah Haji hendaklah melakukan perkara-perkara berikut:
1. Kembali kepada Allah dengan bertaubat dari segala dosa-dosa.
2. Mengembalikan hak-hak dan apa yang diambil secara zalim kepada tuan-tuanya.
3. Jaminan perbelanjaan Haji dari rezeki yang halal lagi baik.
4. Mempunyai teman yang solih cintakan kepada kebaikan dan boleh membantunya.
5. Berjanji untuk:
•Tidak akan melakukan maksiat selama-lamanya.
•Tetap berpegang dengan sunnah Nabi SAW.
•Ikhlas mengerjakan Haji kerana Allah Taala dan tujuan serta niat hendaklah semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
•Memberi penumpuan semata-mata untuk beribadat.
•Tidak berbantah, bergaduh, bertengkar dan sibuk dengan orang ramai.

Perkara-perkara Yang Disunatkan Ketika Musafir Dan Doa-doanya:
•Orang yang musafir sunat mengucapkan selamat tinggal kepada kaum keluarganya, kawan-kawannya serta kenalan-kenalannya.
•Orang musafir berkata kepada orang yang dia tinggalkan:
•Orang yang bermukim pula menjawab kepada orang yang musafir:
•Sebelum bertolak dia disunatkan mendirikan sembahyang sunat musafir sebanyak dua rakaat, pada rakaat yang pertama dia membaca (.... قل يا أيها الكافرون) dan pada rakaat yang kedua pula dia membaca (.... قل هو الله أحد) selepas membaca Al-Fatihah.
•Selepas selesai sembahyang dia membaca ayat Al-Kursi.
•Ketika keluar dari rumahnya dia membaca:
•Kemudian selepas menaiki kenderaan dia bertakbir sebanyak tiga kali:
•Kemudian dia membaca ayat Al-Kursi, surah Al-Ikhlas, surah Al-Masad dan surah An-Nas

Haji Ifrad
Ifrad bermakna jemaah Haji berihram dari miqat dengan niat Haji sahaja kemudian dia bertalbiah seterusnya dia kekal berada dalam keadaan berihram sehingga dia wuquf di Arafah, dia melontar Jamrah Aqabah dan bertahallul dari ihramnya.
Perangkaan tempat yang terdapat di sebelah kanan paparan menjelaskan perjalanan jemaah Haji Ifrad langkah demi langkah.
Firman Allah Taala: Yang bermaksud: Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Haji Tamattu”
Tamattu' bermakna jemaah Haji berihram Umrah dari miqat yang ditetapkan untuk negerinya kemudian dia bertahallul dari ihram Umrah. Setelah itu dia berihram untuk mengerjakan Haji dari Mekah.
Dinamakan sebagai Tamattu' kerana dia memilih cara yang membolehkannya untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram di antara Umrah dan Haji seperti memakai pakaian berjahit, memakai wangian, bersetubuh dengan perempuan...
Perangkaan tempat yang terdapat di sebelah kanan paparan menjelaskan perjalanan jemaah Haji Tamattu' langkah demi langkah.
Firman Allah Taala: Yang bermaksud: Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Haji Qiran

Qiran ialah berniat Haji dan Umrah bersama-sama (iaitu berihram Haji dan Umrah secara serentak) dari miqat-miqat yang ditetapkan kemudian dia mengerjakan ibadat Umrah seterusnya kekal berada di dalam keadaan berihram di Mekah sehingga hari kelapan Zulhijah, waktu Haji lalu dia mengerjakan ibadat Haji kemudian bertahallul dari ihramnya.
Perangkaan tempat yang terdapat pada sebelah kanan paparan menjelaskan perjalanan jemaah Haji yang mengerjakan Haji Qiran secara berperingkat.
Qiran dinamakan sedemikian kerana ia bermaksud menyertakan bersama iaitu menghimpunkan di antara Haji dan Umrah pada bulan-bulan Haji di dalam satu perjalanan musafir serta menggunakan satu niat.

Allah SWT berfirman: Yang bermaksud: Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayat bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Umrah
Umrah ialah Haji kecil, ia diambil dari perkataan al-I'timar iaitu (ziarah). Orang yang mengerjakan Umrah akan berniat Ihram Umrah dari miqat, mengerjakan Tawaf Qudum, bersaie dan seterusnya bertahallul dari Ihramnya dengan bercukur atau bergunting.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Umrah ke Umrah yang berikutnya menjadi penebus dosa yang dilakukan di antara keduanya manakala Haji yang mabrur pula tidak ada balasan selain syurga.

Diriwayatkan daripada Jabir RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Jemaah Haji dan Umrah adalah rombongan Allah, jika mereka berdoa kepada Nya, Dia akan memustajabkan doa mereka dan sekiranya mereka memohon ampun daripadaNya, Dia akan mengampunkan mereka.
Jika jemaah Umrah di Mekah ingin mengerjakan Umrah sekali lagi, dia bolehlah berihram dari Masjid Sayyidah Aisyah RA (di Tan'im) kemudian kembali semula ke Mekah untuk melakukan tawaf dan saie.

Hukum Ziarah dan Kelebihannya: Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa menziarahi baginda adalah sebesar-besar usaha mendekatkan diri kepada Allah dan sebaik-baik ketaatan. Orang yang menziarahi juga hendaklah berniat menziarahi masjid baginda kerana baginda telah bersabda bahawa sembahyang di dalamnya lebih baik dari seribu sembahyang di tempat yang lain melainkan Masjidilharam.
Diriwayatkan daripada Rasulullah SAW. : (Janganlah kamu bersusah payah untuk musafir melainkan ke tiga buah masjid: Masjidilharam, masjidku ini dan Masjidilaqsa).

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: (Sesiapa yang menziarahi maqamku, pasti dia mendapat syafaatku).

Adab-adab Ziarah:
•Sepatutnya bagi pengunjung ketika dia menghala ke Madinah Munawwarah, dia banyak mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabi serta memohon kepada Allah supaya memanfaatkannya dengan ziarahnya itu dan menerima ziarahnya itu kemudian berdoa:
•Dia disunatkan mandi sebelum memasuki Madinah Munawwarah dan memakai pakaian yang paling bersih.
•Apabila sampai di pintu masjid baginda SAW, dia hendaklah mendahulukan kaki kanannya ketika melangkah masuk dan menggunakan kaki kirinya ketika melangkah keluar.
•Dia masuk dengan menuju ke Raudhah (iaitu bahagian di antara mimbar dan maqam Nabi di mana permaidaninya berwarna hijau sedangkan permaidani masjid di bahagian yang lain semuanya berwarna merah). Setelah itu dia mendirikan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid kemudian dia datang ke maqam Nabi dan berdiri menghadap muka baginda SAW. sekitar empat hasta dari dinding maqam dalam keadaan beradab kemudian memberi salam tanpa menguatkan suaranya cuma cukup sekadar didengar oleh dirinya sendiri, sebagai tanda peradaban bersama baginda SAW.
•Pengunjung membaca dengan hati yang khusyuk sambil menundukkan muka serta memperlahankan suara dan tidak banyak menggerakkan anggota badan:
•(Sesiapa yang kesuntukan masa untuk berbuat demikian atau tidak mengingatinya, dia bolehlah membaca sebahagian dari salam ini sahaja).
•Jika seseorang memesankannya supaya menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW dia hendaklah memberi salam secara menyebut: (السلام عليك يا رسول الله من فلان ابن فلان).
•Kemudian dia melangkah ke kanan sekadar satu hasta lalu memberi salam kepada Sayidina Abu Bakar RA dengan berkata:
•Kemudian dia melangkah ke kanan sekadar satu hasta lalu memberi salam kepada Sayidina Umar RA. dengan berkata:
•Setelah itu dia kembali semula ke Raudhah dan banyak mendirikan sembahyang dan berdoa di sana.

Ziarah Perkuburan Baqi', Syuhada' Uhud dan Masjid Quba':
•Sunat keluar ke perkuburan Baqi' pada setiap hari terutamanya tengahari hari Jumaat iaitu selepas memberi salam kepada Rasulullah SAW. Apabila sampai di sana kita memberi salam dengan berkata:

Pengunjung juga sepatutnya menziarahi masjid Quba' untuk sembahyang di dalamnya kerana pernah Nabi SAW datang ke masjid Quba' dalam keadaan menunggang dan berjalan kaki, baginda mendirikan sembahyang dua rakaat di dalamnya dan yang paling afdhal ialah pada hari Sabtu kerana Rasulullah SAW pernah datang ke masjid ini pada setiap hari Sabtu.

•Sebagaimana sunat juga menziarahi syuhada Uhud pada hari Khamis terutamanya penghulu syuhada' Hamzah bapa saudara Rasulullah SAW.

Sembahyang Di Madinah:
•Sunat mendirikan sembahyang semuanya di Masjid Nabi sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA. bahawa Nabi SAW bersabda:
(Sembahyang di masjidku ini lebih baik dari seribu sembahyang yang dilakukan di masjid yang lain selain Masjidilharam).

Keluar Dari Madinah dan Musafir:
•Disunatkan bagi pengunjung apabila dia ingin keluar dan musafir, dia hendaklah meninggalkan masjid Nabi dengan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat dan berdoa dengan doa yang dia inginkan kemudian dia datang ke Raudhah dan memberi salam sebagaimana dia memberi salam sebelum itu serta dia berdoa dengan menyebut sanak saudaranya bersama-sama di dalam doa tersebut dengan penuh tadharru' dan meninggalkan Nabi SAW sambil berdoa:
Seterusnya dia berkata: Kamu bukanlah orang yang ditinggalkan wahai Rasulullah).

Adab-adab Jemaah Haji Dan Umrah Kembali Ke Negerinya: Sunat dia bertakbir di setiap tanah tinggi sebanyak tiga kali takbir kemudian dia berkata:
Dia menghantar berita tentang kepulangannya kepada keluarganya dan janganlah dia pulang secara mengejut kerana perbuatan itu adalah dilarang.
Apabila sampai di tanah airnya dia membaca: Apabila dia sampai ke kawasan tempat tinggalnya, dia pergi ke masjid kemudian sembahyang sunat sebanyak dua rakaat pada bukan waktu yang dilarang mendirikan sembahyang kemudian dia masuk ke rumahnya dan mendirikan sembahyang sunat sebanyak dua rakaat, memuji Allah SWT serta bersyukur di atas taufiq dan hidayatNya.
Disunatkan bagi orang yang bersalam dengan orang yang pulang dari mengerjakan Haji supaya berdoa:
Yang bermaksud: Semoga Allah menerima ibadat Haji kamu dan mengampunkan dosa kamu serta menggantikan perbelanjaan kamu.
Jemaah Haji pula menjawab: Yang bermaksud: Semoga Allah mengampunkan dosa kami dan dosa kamu semua.
Sepatutnya selepas jemaah Haji pulang dia hidup dalam keadaan yang lebih baik dari sebelumnya kerana ia melambangkan bahawa ibadat Hajinya diterima dan melakukan kebaikan dengan lebih banyak lagi.

Nasihat Umum:
1. Mengelakkan diri dari berhutang untuk mengerjakan ibadat Haji kerana tindakan sedemikian adalah salah memandangkan Haji tidak diwajibkan melainkan kepada orang-orang yang berkemampuan untuk mengerjakannya sahaja.
2. Cuba berusaha mempelajari ibadat ini supaya tidak mendedahkan diri anda ke dalam perkara yang boleh merosakkan pekerjaan anda atau mengurangkan pahala anda dalam keadaan anda tidak sedar.
3. Cuba berusaha untuk mengikuti sunnah Rasulullah SAW mengikut kemampuan anda dan keadaan anda.
4. Ketahuilah wahai saudaraku jemaah Haji bahawa mengikut mazhab adalah merupakan suatu kemestian di dalam Haji dan jangan cuba untuk membebankan diri anda lebih dari kemampuan anda kerana (Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya).
5. Cuba berusaha untuk mengelakkan diri anda dari memerhati manusia dan tumpukan kepada pekerjaan anda dan cara melakukan ibadat anda, kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan anda terlihat sesuatu yang boleh jadi perkerjaan yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam adalah pelik bagi anda sedangkan perkara itu adalah disebabkan kejahilan mereka, cuba selesaikan dalam keadaan tenang dan bersabar kerana ia adalah sebahagian dari tanda kebesaran penciptaan Allah.
6. Elakkan diri anda dari melakukan maksiat dan jauhkan diri anda dari bertengkar dan berbalah.
7. Elakkan diri anda dari bersesak dengan manusia serta menyakiti mereka di dalam Tawaf, Saie dan ibadat-ibadat yang lain.
7. Elakkan diri anda dari merempuh atau menenyeh wanita di tempat-tempat yang terlalu penuh sesak (seperti Tawaf, Saie dan di Arafah).
8. Jangan persoalkan diri anda atau orang lain tentang sebab pekerjaan sebahagian ibadat dan cuba menyerahkan diri anda kepada Allah Taala.
9. Anda hendaklah bersikap lemah lembut dengan penduduk dua tanah Haram dan jagalah diri anda supaya tidak berlaku kasar dan bengis bersama mereka kerana sesungguhnya penduduk Mekah adalah jiran Baitullah dan penduduk Madinah adalah jiran Rasulullah SAW.

Nasihat Di Dalam Tawaf:
1. Ketahuilah wahai saudaraku bahawa Tawaf adalah Tahiyat di Al-Haram dan ia adalah sama seperti sembahyang cuma diharuskan bercakap, oleh sebab itulah ia disyaratkan supaya suci dari hadas besar dan kecil serta menutup aurat.
2. Elakkan dari berdiri terlalu lama di Hajarulaswad untuk memberi isyarat kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan berlaku kesesakan yang sangat dahsyat.
3. Elakkan dari bersesak untuk mengucup Hajarulaswad kerana mengucupnya adalah sunat dan tidak menyakiti diri anda serta orang lain adalah wajib, malah perkara wajib lebih patut diikuti berbanding dengan perkara sunat.
4. Jemaah Haji disunatkan supaya khusyuk dan tenang di dalam tawafnya.
5. Muwalat (berturut-turut) di antara pusingan-pusingan di dalam tawaf adalah sunat muakkad.
6. Elakkan diri anda dari mematahkan jari-jari anda supaya mengeluarkan bunyi dan juga menyilangnya di dalam tawaf sebagaimana di dalam tawaf juga makruh makan, minum dan bercakap selain dari berzikir dan berdoa.
7. Makruh tawaf dalam keadan menahan kencing dan berak atau kentut.
8. Berhati-hati supaya melakukan tawaf melalui bahagian luar binaan Hijir Ismail, bukan melalui bahagian dalamnya kerana cara yang sedemikian bermakna jemaah Haji melakukan tawaf di sebahagian Kaabah sahaja dan tindakan itu membatalkan pusingan tawaf yang sedang dia lakukan.
9. Elakkan dari mengangkat suara di dalam tawaf kerana mengangkat suara kadangkala boleh mengganggu orang lain yang melakukan tawaf.
10. Elakkan dari berlari-lari anak di dalam setiap pusingan tawaf kerana berlari-lari anak adalah sunat pada tiga pusingan pertama tawaf sahaja yang selepasnya disusuli dengan saie.
11. Sunat berlari-lari anak pada tiga pusingan tawaf yang pertama dan ittiba' (sopan) di dalam pusingan-pusingan yang lain yang disusuli dengan saie selepasnya.
12. Wanita tidak disunatkan berlari-lari anak di dalam tawaf begitu juga di dalam saie.
13. Elakkan dari ittiba' (sopan) ketika selawat.
14. Elakkan dari menyentuh maqam Ibramim dan menciumnya kerana perbuatan ini adalah bidaah bercanggah dengan sunnah begitu juga dengan berpegang pada dinding kaabah.
15. Elakkan dari terlalu berusaha untuk sembahyang di belakang maqam Ibrahim selepas tawaf ketika keadaan terlalu penuh sesak dan harus sembahyang di mana-mana tempat di dalam Masjidilharam.
16. Perempuan hendaklah menjaga dirinya supaya tidak memperlihatkan rambutnya ketika bertahallul (ketika bergunting).

Nasihat Pada Hari Arafah:
1. Sentiasa memastikan untuk bertalbiah di dalam perjalanan ke Arafah.
2. Elakkan dari malas, membuang waktu serta tidak mahu lagi sibuk berdoa dan berzikir pada hari Arafah kerana Nabi SAW bersabda: Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah.
3. Sentiasa memastikan untuk menghadap kiblat ketika berdoa sekadar termampu.
4. Berusaha untuk wuquf di dalam kawasan Arafah bukan di luarnya.
5. Jemaah Haji hendaklah mengambil perhatian bahawa di dalam masjid Namirah hanya tiga perempat sahaja yang termasuk di dalam Arafah manakala satu perempat lagi berada di luar Arafah, oleh yang demikian berhati-hatilah tentang perkara tersebut jika tidak anda akan kehilangan wuquf di Arafah menyebabkan Haji anda tidak sah.
6. Elakkan dari wuquf di Jabal Rahmah kerana tindakan itu akan menyebabkan berlaku kesesakan dan boleh menyakiti orang lain.
7. Berusaha untuk turun dari selepas tenggelam matahari, dengan demikian anda menghimpunkan di antara malam dan siang, sekiranya anda turun sebelum Maghrib maka anda diwajibkan membayar dam.
8. Jagalah diri anda supaya tidak buruk sangka pada Allah iaitu anda menyangka Allah tidak mengampunkan dosa anda kerana itu merupakan dosa pertama yang anda lakukan.

Nasihat Di Mina:
1. Anda wajib memastikan bahawa ketulan batu memang terjatuh ke tempat lontaran dan tidak melontar dengan cara yang tidak sepatutnya.
2. Elakkan dari melontar kesemua batu-batu secara serantak kerana tindakan sedemikian tidak dikira bagi jemaah Haji cuma ia dikira sebagai satu lontaran sahaja.
3. Elakkan diri anda dari melontar secara berlawanan dengan susunannya bahkah wajib dimulakan dari Sughra kemudian, Wusta seterusnya Kubra.
4. Elakkan dari melontar dengan bilangan yang lebih sedikit atau lebih banyak secara sengaja melainkan jika anda telah ragu-ragu di dalam bilangannya.
5. Jangan lupa berdoa selepas melontar di Jamrah Sughra dan Wusta kerana ia bercanggah dengan sunnah dan meluputkan diri anda dari melakukan kebaikan yang sangat besar.
6. Jangan berdoa selepas melontar di Jamrah Kubra (Jamrah Aqabah) kerana ia bercanggah dengan sunnah.


Nasihat Di Madinah Munawwarah:
1. Iltizam dengan sunnah Nabi secara baik dan menetapkannya.
2. Ketika jemaah Haji dipesan supaya menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW oleh seseorang maka janganlah kamu berkata Assalamu'alaikum wahai Rasulullah daripada (syeikh, Haji, jurutera atau doktor si Polan) bahkan sebut sahaja namanya kerana tidak ada mana-mana kedudukan di hadapan penghulu segala Rasul SAW.
3. Berusaha untuk mendirikan sembahyang di Raudhah kerana Raudhah adalah merupakan sebahagian dari taman-taman syurga.
4. Tidak memegang dan mencium dinding maqam.
5. Berjalan di Madinah dalam keadaan tenang, sopan serta penuh beradab kerana anda berjalan mengikut langkah Nabi SAW dan para sahabat.
6. Tidak sukan atau bercakap dengan kuat di mana mengangkat suara di sisi Rasulullah SAW boleh menggugurkan amalan soleh.
7. Tidak merokok, apabila anda merupakan perokok, berusahalah bersungguh-sungguh untuk berhenti dari merokok di tanah suci kerana tidak sedemikian merupakan perbuatan fasiq terutama di Madinah Rasulullah SAW. malah ia juga dianggap sebagai tidak beradab bersama Rasulullah SAW.

Disediakan untuk: Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Mohammad Hairi Bin Abdullah