Sembahyang merupakan ibadah yang penting, istimewa dan unik. Sembahyang dapat menghubungkan insan dengan penciptanya secara langsung. Sembahyang juga merupakan ibadah yang pertama disyariatkan dan yang paling akhir ditinggalkan oleh manusia. Dari segi amalan ibadah sembahyang dipenuhi dengan sebutan takbir, tahmid dan zikir.
Sembahyang adalah merupakan ibadah yang ringan yang mampu dikerjakan oleh setiap orang. Ringan atau beratnya ibadah sembahyang bergantung kepada keimanan seseorang itu. Semakin beriman seseorang itu semakin mudahlah ia dapat melakukannya. Dalam cuaca sejuk umpamanya, amatlah sukar seseorang itu untuk bangun melakukan sembahyang Subuh tetapi bagi mereka yang mempunyai keimanan yang mantap, mereka tidak akan meneruskan tidur seandainya belum menyempurnakan sembahyang Subuh itu.
Ganjaran sembahyang adalah amat besar sekali. Ibadah ini dapat membantu menyelamatkanmanusia daripada azab akhirat. Ibadah ini juga dapat menghilangkan kegelisahan, mendatangkan ketenteraman, ketenangan dan kebahagiaan. Dalam hadis dan pelbagai pendapat ulama menyebutkan bahawa sembahyang dapat membantu memakbulkan doa seseorang.
Keistimewaan, keunikan dan keunggulan sembahyang dapat difikirkan dan dihayati oleh insan yang memahami erti segala ucapan, perbuatan dan segala gerak-geri yang dilakukan ketika melakukan ibadah sembahyang. Perlakuan Rasulullah SAW. ketika sembahyang bukan hanya sekadar mementingkan kewajipan lahir seperti berwudhuk, berpakaian suci dan kemas, menghadapkan muka ke arah kiblat tetapi baginda juga mengambil berat tentang sesuatu yang berhubung kait dengan yang batin misalnya memahami dan menghayati erti bacaan, perbuatan dan segala perlakuan sembahyang. Dengan kata lain Rasulullah SAW. melakukan sembahyang dengan kesungguhan lahiriah dan batiniah.
Apabila seseorang mempraktikkan sembahyang cara Rasulullah SAW. sudah pasti mereka akan dikurniakan ketenangan dan ketenteraman lahiriah dan batiniah. Sebaliknya jika mereka cuai mengikuti cara Rasulullah SAW. maka kerugianlah yang akan menimpa mereka sama ada di dunia atau di akhirat. Dengan kata lain, sembahyang yang mereka kerjakan adalah sia-sia dan tidak mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
PENGERTIAN SEMBAHYANG
Dari sudut bahasa sembahyang sering diertikan dengan doa atau memohon kebajikan dan pujian. Dari sudut syarak, sembahyang diertikan sebagai ‘Beberapa ucapan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam, dilakukan dalam keadaan beribadah kepada Allah SWT. dengan menurut segala syarat yang telah ditentukan. ’
Pengertian yang dikemukakan oleh ulama feqah ini hanya menggambarkan sembahyang lahiriah sahaja, sedangkan ulama tasauf pula menambahkan lagi definisi sembahyang ini dengan pengertian sembahyang yang batin. Tambahan yang mereka paparkan ialah:Menghadapkan jiwa kepada Allah SWT. secara yang boleh mendatangkan takut kepada-Nya serta menumbuhkan dalam jiwa rasa keagungan, kebesaran, kesempurnaan dan kekuasaan-Nya. Sebahagian ulama mendefinisikan roh sembahyang dengan perkataan:’Berharap kepada Allah SWT. dengan hati dan penuh kekhusyukan di hadapan-Nya, ikhlas dan menghadirkan hati dalam berzikir, berdoa dan memuji Allah SWT. ’Oleh itu apabila difahami dan dihayati pengertian sembahyang seperti yang tersebut di atas, maka nampaklah keindahan dan kecantikan sembahyang itu. Perhubungan sedemikian menepati matlamat asal kejadian insane iaitu untuk menyembah Allah SWT.
HUKUM SEMBAHYANG
Di dalam al-Quran banyak sekali ayat yang dapat dijadikan dalil tentang kewajipan sembahyang. Di bawah ini diperturunkan sebahagian daripada petikan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang menerangkan kepentingan dan keperluan sembahyang.
“Dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah daripada perbuatan jahat dan keji. ” (Al-Ankabut : 45)
“Peliharalah semua sembahyang dan sembahyang wusta (sembahyang yang paling baik) dan berdirilah kamu untuk Allah dalam keadaan khusyuk. ” (Al-Baqarah : 238)
“Islam didirikan atas lima dasar : Mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan puasa di dalam bulan Ramadan. ” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang” (Riwayat Bukhari)
Daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis tersebut, maka dapatlah disimpulkan bahawa hukum sembahyang itu wajib. Sesiapa yang tidak melakukannya adalah melakukan dosa besar.
KEWAJIPAN SEMBAHYANG
Sembahyang diwajibkan kepada seluruh umat Islam yang telah baligh, berakal dan suci daripada sebarang hadas. Sembahyang tidak diwajibkan kepada:
a)Kanak-kanak yang belum baligh
b)Orang yang gila
c)Orang yang tertidur
Meskipun sembahyang tidak diwajibkan kepada kanak-kanak yang belum baligh, namun mereka perlu mendapat latihan amali daripada penjaganya. Kecuaian penjaga dalam membimbing anak-anak untuk mengerjakan sembahyang pada waktu umur tujuh tahun umpamanya akan menyebabkan kesusahan dan kesukaran bagi penjaga untuk mendidik mereka apabila dewasa kelak. Para penjaga wajib member peringatan, tunjuk ajar dan pukulan yang tidak menyakitkan terhadap mereka yang telah mencapai umur sepuluh tahun jika mereka enggan mengerjakan sembahyang.
Orang yang tidak sedar dan mengerti apa yang diucapkan dan tidak faham terhadap apa yang mereka lakukan seperti gila, pitam, pengsan umpamanya, tidak wajib mengerjakan sembahyang. Ini adalah kerana sembahyang adalah semata-mata untuk menyembah, mengagung dan mengingati Allah SWT. Oleh kerana itu Allah SWT. melarang orang yang berada dalam keadaan tidak sedar daripada melakukan sembahyang dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang pada hal kamu dalam keadaan mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu baca. ” (An-Nisa : 43)
Kewajipan sembahyang masih dituntut terhadap orang yang sakit. Hanya cara mengerjakannya adalah berbeza dan disesuaikan dengan kesanggupan pesakit. Sembahyang boleh dilakukan sama ada secara berdiri, duduk atau baring mengikut keupayaan pesakit itu.
Termasuk dalam kategori tidak sedar ialah orang yang tertidur. Mereka tidak wajib mengerjakan sembahyang tetapi wajib mengganti sembahyang dengan segera sebaik sahaja mereka tersedar daripada tidur. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud:“Apabila kamu lupa mengerjakan sembahyang hendaklah kamu sembahyang pada waktu ingat” (Riwayat sebahagian Ahlus-Sunah)
KEISTIMEWAAN SEMBAHYANG
Dalam Islam, setiap ibadah mempunyai keistimewaan dan kelebihan. Ibadah senbahyang mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Antara keistimewaannya ialah:
1)Ibadah yang utama dan pertama
Sejarah telah membuktikan bahawa peristiwa Israh dan Mikraj Nabi Muhammad SAW. adalah suatu yang paling menakjubkan bagi penduduk Makkah dan seluruh umat Islam. Imam Ahmad berkata:
“Sembahyanglah ibadah yang mula-mula difardhukan oleh Allah SWT. kepada Rasul-Nya sebelum amal ibadah yang lain. ”
2)Ibadah yang diwasiatkan Pesanan terakhir yang diungkapkan oleh Nabi Muhammad SAW. kepada seluruh umatnya ketika baginda hendak wafat ialah supaya umatnya tidak meninggalkan sembahyang.
3)Amal yang paling awal dihisab Kesempurnaan ibadah sembahyang menentukan kesenpurnaan ibadah yang lain. Sebaliknya kecuaian sembahyang boleh menjejaskan ibadah yang lain. Oleh kerana itu kedudukan sembahyang amat tinggi nilainya jika dibandingkan dengan ibadah yang lain.
4)Amal yang paling akhir ditinggalkan Tuntutan kehidupan pada zaman yang moden ini menjadikan manusia semakin sibuk dalam pelbagai hal. Kesibukan menjadi alasan bagi manusia untuk meninggalkan sembahyang. Jika manusia tidak lagi mengerjakan sembahyang bererti dunia akan berakhir.
5)Asas syiar Islam Hubungan makhluk dengan Khaliqnya ditentukan oleh sembahyang kerana sembahyang merupakan syiar Islam yang utama dan satu-satunya ibadah yang dapat menghampirkan seseorang hamba kepada Allah SWT. Terdapat hadis mengatakan bahawa keislaman dan keimanan seseorang itu ditentukan oleh ibadah sembahyang. Jika mereka tidak sembahyang bererti telah hapus tanda-tanda keislaman dan keimanan mereka. Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud:
“Sempadan orang Islam dengan kafir iaitu sembahyang” (Riwayat Ahmad dan Muslim)
“Urusan yang memisahkan antara kita(muslim) dengan mereka(kafir) ialah sembahyang, maka sesiapa yang meninggalkannya sungguh ia menjadi kafir” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
SEKSA ORANG YANG TIDAK SEMBAHYANG
Allah SWT. telah mengemukakan pelbagai ancaman yang sangat dahsyat terhadap orang yang tidak sembahyang. Seseorang yang meninggalkan sembahyang bereti mereka telah meninggalkan hak Allah, hak Rasul, hak dirinya dan segala hak orang Islam.
Tiga seksaan semasa di dunia
a)Allah SWT. menghilangkan berkat daripada usaha dan rezekinya
b)Allah SWT. menghapuskan tanda-tanda kesalihan daripada mukanya
c)Sentiasa mendapat kebencian daripada orang yang beriman
Tiga seksaan ketika hendak mati
a)Ketika rohnya akan dicabut, dia akan berada dalam keadaan yang sangat dahaga
b)Ketika rohnya dicabut, dia berasa kesakitan yang amat sangat
c)Dikhuatiri mati dalam keadaan Suul Khatimah(mengakhiri ajal dengan kejahatan)
Tiga seksaan semasa di dalam kubur
a)Ketika ditanya olek Munkar dan Nakir, dia sangat sedih dan tidak boleh member jawapan
b)Kuburnya menjadi sangat gelap
c)Kuburnya menyempit sehingga tulang-tulang rusuknya berselisih
Tiga seksaan semasa hari akhirat
a)Ketika dihisab, amal buruknya lebih banyak daripada amal baik
b)Allah SWT. sentiasa murka kepadanya
c)Diseksa olek Allah SWT. dengan api neraka
Meninggalkan sembahyang pula bereti seseorang itu secara terus-terang meruntuhkan tiang agama. Jika tiang agama runtuh maka amalnya juga runtuh dan mereka ini termasuk dalam golongan yang sangat rugi sama ada di dunia ataupun akhirat.
KEWAJIPAN SEBELUM SEMBAHYANG
Apabila seseorang hendak melakukan sembahyang, mereka mesti melaksanakan beberapa kewajipan supaya ibadah sembahyangnya diterima oleh Allah SWT. Antara kewajipan yang mesti dikerjakan ialah:
1)Menyempurnakan wuduk
2)Berpakaian suci dan kemas
3)Mengetahui masuk waktu
4)Menutup aurat bagi lelaki dam perempuan
5)Menghadap kiblat
KESIMPULAN
Salah satu sifat kes kesempurnaan Allah SWT. iaitu baik dan suka kepada sesuatu yang sempurna. Allah SWT. tidak menerima suatu keyakinan, ucapan dan perbuatan kecuali yang sempurna dan baik. Ibadah sembahyang merangkumi kepercayaan, ucapan dan perbuatan. Sembahyang yang terbaik adalah keyakinan yang benar, ucapan yang teratur dan perbuatan yang mencerminkan sikap dan perbuatan Rasulullah SAW. Sembahyang yang dikerjakan mengikut cara Rasulullah SAW. akan memperoleh ketenangan, ketenteraman dan sekaligus dapat mendidik jiwa manusia kea rah yang benar dan baik. Di samping itu, sembahyang dapat juga melahirkan sifat mahmudah dan menolak sifat mazmumah.
Disediakan untuk: Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Disediakan oleh: Nurul Asmaa Binti Johari